Pembaca Setia...

Selasa, 26 Mei 2009






SIHIR PELALAU PEROSAK HUBUNGAN

Bersama Dato Dr Amran Kasimin

SOALAN:
Sama seperti perempuan lain, saya ingin berkahwin, tetapi dihalang oleh keluarga dan macam-macam masalah. Seingat saya, lebih 10 orang yang datang meminang. Apabila saya terima pinangan, keluarga membantah, ataupun bantahan daripada pihak lelaki yang tidak setuju.

Umur saya meningkat 30 tahun dan keluarga saya menyatakan jodoh saya berat, mungkin saya disihir. Hingga sekarang ini saya menghadapi masalah mimpi dengan seorang lelaki, kawan sama sekolah dahulu. Kami hanya berkawan biasa tidak bercinta pun. Selalu terganggu di waktu tidur. Saya selalu terhidu bau busuk, bau rumput terbakar dan kadang-kadang bau wangi yang tidak ada puncanya yang dapat dipastikan. Adakah saya terkena sihir? IZNORA, Ampang

JAWAPAN:
Pertanyaan dan permasalahan yang saudari kemukakan adalah sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Walaupun demikian segala pengalaman dan masalah seperti yang saudari jelaskan adalah sesuatu yang benar-benar boleh berlaku.

Banyak punca menyebabkan seseorang itu, sama ada lelaki atau perempuan tidak menemui jodoh, sehingga mencecah umur yang membimbangkan, yang mempunyai punca yang berbeza. Merujuk kepada permasalahan yang dikemukakan, seperti yang dijelaskan dalam surat panjang saudari, saya lebih berkecenderungan untuk mengatakan bahawa saudari menghadapi masalah yang diistilah sebagai ``pelalau.''

Pelalau adalah salah satu cabang amalan sihir yang terkutuk menurut pandangan Islam. Ia merupakan salah satu dosa besar yang membinasakan. Sihir yang dimaksudkan di sini ialah amalan yang dilakukan oleh manusia, dengan pertolongan atau bantuan jin sama ada jin yang dibela, dibuat sahabat untuk tujuan-tujuan tertentu, yang pada kebiasaannya dilakukan untuk menyakiti orang lain, sebab-sebab tertentu seperti membalas dendam, hasad dengki, cemburu, permusuhan yang berlaku sejak begitu lama, untuk membinasakan orang lain dan sebagainya. Terdapat banyak jenis sihir, di antaranya dan yang paling banyak berlaku ialah sihir untuk memisahkan suami isteri yang juga dikenali sihir pembenci, sihir pengasih, yang diistilahkan juga ilmu guna-guna, pukau, santau, pelalau dan sebagainya.

Sihir pelalau dilakukan atau dikenakan ke atas seseorang dengan tujuan di antaranya untuk mengunci nafsu manusia, tidak kira sama ada nafsu lelaki ataupun perempuan, daripada keinginan berkahwin. Pada kebiasaannya, tabiat orang yang berkenaan (mangsa) akan berubah, menjadi pendiam, tidak aktif, sentiasa dalam keadaan murung, menyendiri dan sering kali melarikan diri apabila persoalan pernikahan atau perkahwinan dan hal-hal lain berkaitan cinta itu ditimbulkan oleh keluarga atau teman-teman.

Selain daripada pelalau yang menyebabkan nafsu kahwin seseorang itu tertutup, sihir jenis ini juga boleh menyebabkan berlakunya halangan-halangan, usaha-usaha untuk menemukan jodoh seseorang itu terbantut. Sebagai contoh, sekiranya seorang perempuan yang terkena sihir jenis ini bersetuju mengahwini seseorang, setelah beberapa lama berkenalan, bercinta dan sebagainya, pasangannya mungkin akan menolak, begitulah sebaliknya. Pasangan ini mungkin telah bertunang beberapa tahun, tetapi pada saat-saat terakhir si perempuan menolak, enggan berkahwin dengan tunangnya yang pada asalnya lelaki itu amat dicintai dan tidak ada masalah dan sebab-sebab yang jelas dapat diterima akal. Ada juga perempuan yang melarikan diri di saat akhir setelah semua persiapan lengkap diatur.

Anak yang waras tidak akan berbuat demikian, kerana perbuatan seperti ini selain memberi aib kepada ibu bapanya, juga kaum keluarga. Biarpun perbuatan tersebut seumpama mustahil boleh terjadi, tetapi ia pernah berlaku dalam masyarakat kita lantaran sihir. Bakal pengantin perempuan melarikan diri dalam keadaan separuh tidak sedarkan diri dan seluruh perasaan, badannya seumpama ditarik-tarik keluar rumah pada waktu malam. Pada telinganya dibisikkan, atau seumpama terdengar bisikan supaya melarikan diri. Halangan untuk menyatukan pasangan ini mungkin tidak tercetus daripada pasangan itu, tetapi mungkin berpunca daripada sikap ibu bapa, ataupun salah seorang daripadanya. Biarpun pasangan ini telah bersetuju untuk berkahwin, tetapi si ibu membantah tanpa sebab yang jelas.

Si ibu mungkin mengancam akan membunuh diri sekiranya anak perempuannya tetap berkahwin dengan lelaki pasangannya, mengancam akan keluar lari dari rumah, tidak menghalalkan makan, minum ataupun tidak mengaku anak buat selama-lamanya dunia akhirat. Ada banyak kes yang saya temui seperti yang saudari alami. Seorang responden berumur hampir 30 tahun, tinggal di Kuala Lumpur, telah dipinang tidak kurang daripada 15 orang lelaki, tetapi kesemuanya berakhir dengan kegagalan. Ada sahaja halangan terjadi.

Pernah satu ketika, satu rombongan yang datang lengkap dengan hantaran, kerana kedua-dua pihak bersetuju. Setelah rombongan tersebut masuk ke dalam rumah perempuan, tiba-tiba si perempuan dalam keadaan tidak dapat mengawal diri telah memarahi rombongan ini, sambil menjerit-jerit, akhirnya mereka balik dengan hampa. Pada hal ketika itu si perempuan siap sedia dengan pakaian dan perhiasan untuk menerima peminangan itu. Apa yang berlaku di luar kawalan, mula-mula si perempuan mendengar suara seperti desiran angin datang dari jauh, kemudian dia mendengar suara loceng berbalam-balam. Badannya berasa sejuk, bermula dari hujung jari-jari, lalu dirasakan dunia sedikit demi sedikit menjadi gelap. Ketika itu dia melihat wajah rombongan yang masuk ke ruang tamu seumpama lembaga yang menakutkan, lalu dia menjerit, tidak sedarkan diri.

Dalam kejadian lain, setelah pihak lelaki dipersetujui untuk datang meminang, pada malam harinya, iaitu hari sebelum rombongan itu datang, si perempuan ini bermimpi yang dia akan didatangi oleh rombongan untuk meminangnya. Dalam mimpi itu dijelaskan bahawa rombongan itu akan gagal, sama seperti rombongan-rombongan lain, yang pernah meminangnya. Gambaran mimpi yang dialaminya benar-benar berlaku, di mana rombongan tersebut tidak dapat meneruskan perjalanannya. Ketika berada di Shah Alam, hujan turun dengan lebatnya berserta petir, akhirnya rombongan itu balik hampa. Tidak jelas sama ada apa yang berlaku itu hanya secara kebetulan, ataupun ada kaitannya dengan mimpi yang dialami. Apa yang nyata peminangan itu gagal. Tidak mudah untuk menyatakan bahawa kegagalan seseorang itu untuk menemui jodohnya itu berpunca daripada pelalau yang dijelaskan di sini ataupun sebab-sebab biasa yang bukan berpunca daripada perbuatan sihir.

Biar dalam keadaan apa sekalipun, sekiranya kegagalan untuk mendapat jodoh itu berpunca daripada sihir, seperti yang dijelaskan, orang yang terlibat, sama ada si perempuan atau kedua-dua ibu bapanya akan mengalami tanda-tanda berlakunya sihir, sama ada tanda tersebut berlaku sebahagian daripadanya ataupun terjadi secara menyeluruh. Syeikh Wahid Abdul Salam Bali membahagikan tanda-tanda seseorang itu terkena sihir kepada dua iaitu tanda ketika tidur dan tanda-tanda ketika dalam keadaan jaga. Gangguan tidur sering berlaku ketika seseorang itu baru hendak terlena, juga ketika sedang tidur nyenyak. Mungkin seseorang terasa perutnya ditusuk dengan jarum, lembing atau benda-benda tajam, dilanggar kenderaan, menyebabkan darah kelihatan bertaburan, diterkam oleh makhluk yang menakutkan, yang biasanya berwarna hitam dan sebagainya. Gangguan yang menakutkan ini datang lagi sebaik-baik seseorang itu menyambung tidurnya. Pengalaman seperti ini menyebabkan seseorang itu rasa takut dan bimbang untuk menyambung tidur.

Mereka yang menghadapi masalah seperti ini sering bermimpi melihat makhluk ganjil, hitam, tinggi lagi menakutkan. Dikejar dan ditangkap oleh makhluk besar, lalu diselam dalam air dan tercungap-cungap sukar bernafas. Mimpi melihat binatang yang menakutkan, seperti ular, kucing besar, anjing ataupun harimau. Makhluk itu kadang-kadang datang menghambat atau menggigit. Bermimpi berada di tempat asing lagi menggerunkan atau berada di kubur bersendirian, melihat dirinya sedang dikapankan dan ditanam dalam tanah, melihat mayat atau berjumpa dengan orang yang meninggal dunia.

Terasa seolah-olah berada di awang-awang, di tempat tinggi, di gunung ataupun di hutan lalu jatuh ke bumi. Bermimpi menangis ketika sedang tidur, lalu menjerit atau merengek, seolah-olah sedang sakit. Orang berkenaan tidak menyedari dia menangis, tetapi tangisannya dapat didengari oleh orang lain. Ketika terjaga dia menyedari yang dirinya benar-benar menangis, mengeluarkan air mata. Terasa seolah-olah digigit oleh sesuatu, di hujung jari tangan atau kaki atau pada bahagian badan. Bekas lebam biru dapat dilihat di celah paha atau betis. Terasa bisa, lenguh pada bahagian berkenaan.

Berlaku juga kejadian ganjil, seperti terdengar bunyi suis lampu dibuka, paip, suara, pintu, atau tingkap dibuka dan ditutup, suara orang berlari atau naik tangga dan sebagainya. Lampu rumah kadang-kadang menyala sendiri, paip mengeluarkan air kemudian tertutup. Terlihat kepulan asap dalam rumah seolah-olah ada benda yang terbakar. Terbau bauan yang tiada punca seperti bau sampah, bangkai, darah, bau kemenyan atau bau wangi. Bau ini selalunya dapat dihidu hanya orang tertentu iaitu orang yang terlibat atau oleh semua mereka yang berada di tempat berkenaan. Rasa putus asa hidup. Timbul rasa gelisah, gembira bersangatan dan sedih saling berganti tanpa sebab yang jelas. Ada ketikanya timbul dorongan untuk membunuh diri, terutamanya ketika berada di bangunan tinggi.

Didatangi binatang dalam rumah seperti ular, lipan, kala jengking, ulat bulu, belalang atau jengkerik, langau, kupu-kupu besar kelihatan bertaburan di ruang tamu, dalam bilik atau tempat lain tanpa dapat dikesan punca dari mana binatang itu datang bukan setakat dalam rumah malah di luar seperti dalam perjalanan balik kampung atau sebagainya, seolah-olah diekori oleh binatang yang sama. Hakikatnya, tanda-tanda sihir itu banyak, yang tidak kesemuanya berlaku kepada diri seseorang yang terlibat. Dalam keadaan tertentu tanda-tanda tersebut berbeza, bergantung kepada jenis sihir yang berlaku. Berdasarkan simptom-simptom di atas, juga lain-lain simptom yang tidak dijelaskan, seseorang itu dapat membezakan sama ada kejadian yang berlaku kepada dirinya itu seperti kesukaran untuk mendapatkan jodoh itu berlaku kerana sebab-sebab biasa ataupun akibat perbuatan sihir.