Pembaca Setia...

Rabu, 4 Februari 2009








OPERASI TANGKAP HANTU,PEKERJAAN YANG SIA-SIA...

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh agama sependapat menyatakan perbuatan menangkap hantu atau keseronokan melihat perlakuan itu sebagai pekerjaan yang sangat sia-sia.

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga pengkaji kebudayaan Islam, Datuk Dr Amran Kasimin, berkata tiada guna manusia menghabiskan masa semata-mata untuk menangkap hantu atau melihat perbuatan itu.

“Buat apalah tangkap hantu. Itu semua mengarut. Secara ratio atau perbandingan, jumlah jin 99 kali ganda daripada jumlah manusia. Tiada gunanya tangkap hantu,” katanya..

Menurutnya, tiada satu ayat pun dalam al-Quran yang menyebut salah satu tugas manusia di dunia ini untuk menangkap hantu syaitan.

Beliau hanya tergelak apabila diajukan mengenai operasi menangkap hantu di Taman Rinting, Johor Bahru oleh seorang pengamal perubatan tradisional hingga dikatakan menerima sambutan luar biasa di kalangan penduduk bandar raya itu yang teruja untuk melihat cara menangkap makhluk berkenaan.

Harian Metro semalam melaporkan mengenai keterujaan orang ramai menyaksikan operasi itu yang diketuai seorang pengamal perubatan tradisional dikenali sebagai Kak Mek yang didakwa sudah membantu menyelesaikan kira-kira 100 kes kerasukan, membuang saka, menangkap hantu di rumah atau premis berpenunggu.

Dr Amran berkata, kegiatan berkenaan sia-sia dan dikhuatiri boleh membawa kepada khurafat dan memesongkan akidah.

“Dalam al-Quran tidak sebut pun tugas manusia tangkap hantu, yang ditekankan ialah supaya manusia menjauhi syaitan dan menganggap makhluk itu sebagai musuh.

“Cukuplah dengan pelbagai masalah akhlak di kalangan umat Islam, sedarlah dengan kenyataan dunia ketika ini kita sedang ketinggalan. Malah, ada saudara kita sedang diperangi.

“Perbuatan kononnya menangkap hantu atau melihat upacara itu satu pekerjaan sia-sia yang sangat nyata...sebenarnya kalau tiada sambutan, kegiatan pengamal perubatan itu akan hilang sendiri,” katanya.

Namun apa yang berlaku katanya, pengamal perubatan itu akan terus ‘menunjukkan’ kehandalan kerana orang ramai suka melihatnya.

Menurutnya, bukan sebarang orang boleh mendakwa berupaya menundukkan makhluk halus.

“Siapa dia nak mengaku berupaya menundukkan hantu ? Warakkah dia, zuhudkah dia atau takwakah orangnya? Orang ramai janganlah terlalu mudah percaya perkara sebegini,” katanya.

Menurutnya, apa yang harus dipegang insan di dunia ini ialah manusia hidup di alam nyata, jadi tidak perlu terlalu taksub dengan alam khayalan kerana ia merugikan.

Tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din pula menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan individu yang mendakwa berupaya menangkap hantu kerana dikhuatiri mempunyai unsur komersial.

“Sebagai contoh satu masa dulu heboh diperkatakan mengenai ‘jenglot’ yang dikeringkan dan kemudian menjadi bahan pameran.

“Dalam istilah tauhid atau fekah tiada makhluk bernama hantu, pontianak atau jenglot tapi yang ada ialah jin dan syaitan. Manusia tidak boleh nampak makhluk berkenaan jadi bagaimana nak menangkapnya, lebih-lebih lagi konon dimasukkan ke dalam botol,” katanya.